Ogos 2003
ANUGERAH SAINTIS MUDA 2002
http://www.tmsk.itm.edu.my/~persama
Warga UKM mengucapkan tahniah kepada Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi
UKM Prof. Madya Dr. Maslina Darus kerana terpilih sebagai penerima Anugerah
Saintis Muda 2002. Beliau juga turut membawa pulang RM10,000 dan sijil.
Februari 2003
DERDAYA MATEMATIK MELALUI OLIMPIAD MATEMATIK KEBANGSAAN (OMK) ANJURAN PERSAMA
http://www.tmsk.itm.edu.my/~persama
Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu matematik merupakan satu-satunya ilmu yang amat berguna kepada manusia amnya terutama sekali dalam perkembangan sains dan teknologi dan komunikasi kini.Terbit daripada mencari penyelesaian bagi masalah harian manusia pada walanya, ilmu ini ternyata telah membuktikan nilai kegunaannya yang agung. Ternyata banyak penemuan-penemuan hebat berhubung dengannya telah lahir sebelum tahun Masihi lagi yang akhirnya dapat dimanfaatkan dalam pelbagai aplikasi dalam pelbagai bidang. Melalui matematik banyak kerja-kerja pengiraan yang rumit dan kompleks telah dapat diatasi dengan jayanya. Lihat sahajalah pencapaian manusia dalam membina beranika benda di sekeliling kita sekarang ini seperti bangunan yang mencakar langit, pelbagai kenderaan sama ada yang boleh mendasari lautan,darat, sehingga dapat meneroka ruang angkasa yang luas berlandaskan pengiraan dan perkiraan yang tepat, peralatan komunikasi yang canggih, pelbagai perkakasan keperluan harian untuk kegunaan manusi, pengurusan perbankan, perniagaan dan perdagangan dan macam-macam lagi. Semua ini mamapu terjadi hasil dari kesepaduan mateamatik dan ilmu-ilmu lain seperti sains, kejuruteraan, sains pengukuran, perniagaan, teknologi dan sebagainya
Namun demikian untuk mahir dalam bidang ini bukanlah satu perkara yang mudah. Terdapat banyak faktor tertentu yang perlu diambilkira untuk mencapai matlamat ini.Selain daripada faktor minat, sokongan pelbagai pihak , motivasi, mitos, fobia, ruang belajar, guru, pengetua, dorongan keluarga, prasarana dan lain-lain, aktiviti-aktiviti yang sihat seperti pertandingan menguji bakat matematik seseorang murid di bangku sekolah juga boleh menyemarakkan matlamat ke arah pencapaian penguasaan matematik yang lebih tinggi. Ini merupakan satu cabaran yang berterusan bagi PERSAMA (Persatuan Sains Matematik Malaysia) sejak penubuhannya lagi. Semenjak tahun 70an PERSAMA telah menganjurkan pertandingan matematik untuk murid-murid sekolah dengan tujuan memupuk minat erta menggalakkan murid-murid untuk berkecimpung dalam bidang ini. Tradisi ini masih lagi diteruskan oleh PERSAMA tahun demi tahun dengan penuh harapan.
Pertandingan OMK (Olimpiad Matematik Kebangsaan) merupakan salah satu aktiviti tahunana PERSAMA. Sasaran pertandingan ini ialah murid-murid sekolah menengah dari tingkatan satu hinggan enam (dan yang setara dengannya). Kebelakangan ini pertandingan ini dibuka juga kepada pelajar-pelajar Matrikulasi termasuk dari kolej-kolej swasta. Banyak juga sekolah-sekolah yang menghantar murid-murid tingkatan dua untuk menyertai pertandingan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada mereka. PERSAMA menyokong penuh akan semangatsekolah-sekolah sedemikian kerana pendedahan awal ini memberi peluang yang luas kepada mereka untuk menguji daya saing mereka dalam bidang ini di peringkat kebangsaan. Jika sekiranya mereka unggul maka mereka ini mempunyai banyak peluang sebanyak maksimum 7 kali (yakni dari tingkatan 2 - tingkatan 6) untuk menguji tahap penguasaan mereka dalam pertandingan ini. Selain daripada sekolah sekolah yang prihatin terdapat juga ibu bapa yang memohon untuk anak-anak mereka mengambil bahagian. Jadi penyertaan pertandingan ini adalah terbuka luas.
Pertandingan OMK dibahagi kepada tiga kategori iaitu kategori Bongsu untuk murid-murid tingkatan 1 dan 2, kategori Muda bagi murid-murid tingkatan 3 dan 4, dan kategori Sulong untuk murid-murid tingkatan 5 dan 6 (dan yang setara dengannya). Oleh kerana PERSAMA ingin mendapatkan calon bagi pertandingan IMO maka bermula pada tahun 1998, format OMK telah diubahsuai agar menyerupai format pertandingan IMO. Setiap kategori mempunyai 5 soalan subjektif dan calon dikehendaki menjawab 4 soalan sahaja. Tiga soalan pertama adalah soalan wajib sementara dua soalan akhir adalah soalan pilihan. Tiga soalan yang pertama itu selalunya soalan yang sederhana mudah, sementara dua soalan akhir adalah soalan yang mencabar Jangka masa pertandingan ialah 2 jam sahaja. Tarikh pertandingan OMK biasanya ditetapkan pada bulan April setiap tahun iaitu beberapa bulan sebelum pertandingan IMO diadakan. Kebiasaannya IMO diadakan pada musim panas iaitu bulan Julai di negara-negara yang telah ditentupasti oleh pihak penganjur antara bangsa. Pada tahun ini OMK akan diadakan pada 26 April 2003 sementara IMO akan diadakan pada bulan Julai di negara Jepun.
Skop matematik yang diperlukan untuk pertandingan ini sememangnya melampaui skop kurikulum sekolah menengah. Ini sudah pasti merupakan satu cabaran yang besar kepada murid-murid dan juga guru-guru sekolah yang ingin mengambil bahagian. Namun demikian faktor ini tidak seharusnya mematikan semangat mereka kerana di pentas ini mereka menguji kemampuan daya pemikiran matematik mereka. Seharusnya tajuk-tajuk yang di luar skop kurikulum boleh sahaja diterap sebagai aktiviti kelab matematik di sekolah-sekolah. Ini adalah kerana sudah tentu yang menjadi ahli kelab-kelab ini adalah mereka yang berminat dalam matematik sendiri. Ini bermakna sekurang-kurangnya satu faktor positif sudah ada dalam diri mereka. Dalam zaman teknologi dan komunikasi maklumat kini pula banyak bahan rujukan boleh dicapai secara on-line. Terdapat banyak laman pertandingan matematik seluruh dunia dapat dilayari melalui internet. Murid-murid boleh juga berinteraksi dengan mereka yang mempunyai minat yang sama di seluruh dunia melaluinya. Dengan bimbingan dan dorongan guru-guru, murid-murid ini sudah pasti akan dapat membuat persediaan sebelum menduduki pertandingan ini. Selain daripada itu PERSAMA juga ada menyediakan bahan-bahan penulisan berhubung dengan pertandingan ini. Sebagai contoh himpunan soalan-soalan dan penyelesaian OMK tahun-tahun lepas telah pun dibukukan dan boleh diperolehi melalui persatuan ini. Buku rujukan tempatan lain yang bermanfaat termasuklah Menyahut Cabaran Olimpiad Matematik yang ditulis oleh Profesor Abu Osman Md Tap dari UKM yang juga merupakan pengurus kumpulan IMO negara sejak 1995.
Murid-murid yang menunjukkan kaliber matematik yang tinggi akan ditentupasti oleh PERSAMA melalui pertandingan ini. Penyelesaian subjektif yang mereka tulis akan diteliti oleh pihak panel OMK. Lazimnya mereka yang menunjukkan kemampuan daya pemikiran matematik yang tinggi dipilih untuk mengikuti beberapa siri bengkel latihan Olimpiad Matematik Antara Bangsa (IMO). Hasil daripada bengkel-bengkel ini pula sebilangan kecil (biasanya 6 orang) akan ditentupasti untuk mewakili negara dalam pertandingan tahunan IMO yang ditaja oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Hadiah-hadiah yang lumayan disediakan oleh pihak PERSAMA untuk mereka yang menunjukkan prestasi dan merit yang tinggi dalam pertandingan OMK ini. Hadiah yang disediakan adalah berupa wang, piala pusingan, hadiah saguhati dan sijil sanjungan kehormat. Hadiah-hadiah ini dibahagikan kepada dua kategori lain pula iaitu kategori perseorangan dan kumpulan seperti berikut:
Perseorangan : Pertama meraih piala pusingan, wang tunai RM500 dan sijil
Kedua mendapat RM400 dan sijil
Ketiga mendapat RM300 dan sijil
Berkumpulan : Pertama meraih piala pusingan, wang tunai RM800 dan sijil
Kedua mendapat RM600 dan sijil
Ketiga mendapat RM400 dan sijil
Selain daripada ini para peserta yang menunjukkan prestasi yang cemerlang akan dianugerahkan hadiah saguhati dan sijil sementara sekumpulan yang menunjukkan potensi matematik akan diberikan sijil sanjungan kehormat. Sijil-sijil ini amat berguna terutama sekali bagi tujuan mendapatkan biasiswa ataupun kemasukan ke institusi pengajian tinggi. Pada setiap tahun keputusan OMK dilaporkan dalam laman PERSAMA di <http://www/tmsk.itm.edu.my>. Di laman ini juga pelbagai aktiviti PERSAMA dapat dirujuk. Maklumat serta borang untuk menyertai pertandingan OMK boleh sahaja diperolehi di laman ini.
OMK biasanya diadakan serentak di seluruh negara. Lazimnya pertandingan diadakan pada petang Sabtu jam 2.30-4.30 di pusat-pusat yang ditentupasti. Pusat-pusat pertandingan lazimnya ialah dewan-dewan sekolah tertentu ataupun dewan-dewan peperiksaan di institut pengajian tinggi (IPTA) yang ditentupasti. Buat masa ini PERSAMA telah mendapat sokongan yang baik daripada komuniti matematik dari IPTA seluruh negara, Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga pengetua-pengetua sekolah atau kolej. Kepada mereka ini PERSAMA ucapkan syabas dan tahinah atas semangat yang positif. Adalah diharapkan kerja sama yang telah diberikan akan berterusan agar usaha untuk menimba murid-murid yang berpotensi dalam matematik akan dapat dicapai. Justeru sekali gus kita menyahut cabaran negara untuk berdaya saing dan maju di persada antara bangsa.